IMAM ABU HASAN AL-ASY’ARI
LATAR BELAKANG
Al-Asy’ari atau nama penuhnya Ali bin Isma’il bin
Ishaq bin Salim bin Isma’il bin ‘Abd-Allah bin Musa bin Bilal bin Abi Burdah
bin Abi Musa al-Asy’ari. Gelaran beliau ialah Abu al-Hasan. Beliau merupakan
seorang tokoh ulama Kalam dan pengasas mazhab usul yang diambil sempena namanya.
Beliau dilahirkan pada tahun (m.260/874), di kota Basrah dan merupakan
keturunan yang kesembilan daripada sahabat Nabi iaitu Abu Musa al-Asy’ari. Pada
ketika ayahnya meninggal dunia, beliau telah diamanahkan untuk dijaga oleh
Zakariyya bin Yahya al-Saji (m.285/898), seorang tokoh ulama fiqh
al-Syafi’iyyah. Dalam beberapa peristiwa, beliau dikatakan pada usia lebih
kurang 10 tahun, telah dipelihara oleh Abu ‘Ali al-Jubba’i (m.303/918), di Kota
Basrah dengan berdasarkan cerita yang mengatakan ibunya berkahwin dengan
al-Jubba’i dan beliaulah yang telah membesarkannya. Al-Asy’ari kemudian terus
menjadi penganut Mu’tazilah selama hampir 30 sehingga mencapai usia 40 tahun.
Disebabkan kefasihan dan umurnya, al-Jubba’i selaku ketua mazhab Mu’tazilah di
kota tersebut memilih al-Asy’ari sebagai penggantinya dalam perbahasan fahaman
Mu’tazilah. Beliau merupakan salah seorang anak murid al-Jubba’i yang terbaik dan
mungkin bakal menjadi penggantinya seandainya beliau tidak meninggalkan mazhab
Mu’tazilah dengan memasuki golongan Ahl al-Haq wa Ahl al-Sunnah.
Aliran
ini dianutinya sehinggalah beliau berusia 40 tahun dan tiada sedikit pun
daripada umurnya digunakan untuk mengarang kitab-kitab yang bercirikan
Mu’tazilah yang berlaku pada tahun (m.300/912). Dalam kehidupan seterusnya,
beliau telah berpindah ke Baghdad dan meninggal dunia di sana pada tahun (m.324/
936). Perubahan mengenai cerita-cerita al-Asy’ari diterangkan dalam banyak
variasi. Hal ini terjadi tiga kali pada bulan Ramadan iaitu beliau dikatakan
telah berjumpa dengan Rasulullah (s.a.w) dalam mimpi dan diperintahkan supaya
berpegang kuat kepada hadith. Beliau menganggap mimpi itu sebagai benar dan
boleh dipercayai, dan sejak ahli-ahli hadith mencela ilmu Kalam, beliau turut
sama berbuat demikian. Bagaimanapun, dalam mimpi ketiga beliau disuruh supaya
berpegang kuat kepada hadith dan pada masa yang sama tidak meninggalkan ilmu
Kalam.
Kisah
keluarnya Imam al-Asy’ari dari Mu’tazilah
Menurut data sejarah yang pernah disampaikan oleh para ulama seperti
al-Hafizh Ibn ‘Asakir al-Dimasyqi, Syamsudin Ibnu Kholikan, Imam Tajuddin
al-Subki dan lain-lain, ada 2 sebab yang menyebabkan perpindahan Imam
al-Asy’ari daripada fahaman Mu’tazilah kepada Ahlu Sunnah wal Jama’ah.
Pertama:
Ketidakpuasan Imam al-Asy’ari terhadap ideologi Mu’tazillah yang selalu
mendahulukan akal tetapi selalu menemui jalan buntu dan mudah dipatahkan oleh
dalil akal yang sama.
Ketidakpuasan Imam al-Asy’ari dapat dilihat dengan memperhatikan
beberapa hal antara lain dengan memperhatikan riwayat yang menyatakan bahawa
sebelum al- Asy’ari keluar dari aliran Mu’tazilah, beliau tidak keluar rumah
selama 15 hari, kemudian pada hari Jumaat setelahnya, beliau keluar ke masjid
jami’ dan menaiki mimbar dengan berpidato :
“Sebenarnya saya telah menghilang selama 15 hari kerana selama itu saya
meneliti semua dalil-dalil yang ada dan ternyata saya tidak menemukan jalan
keluar. Dalil yang satu tidak lebih kuat dari pada dalil yang lain lalu aku
memohon petunjuk kepada Allah dan ternyata Allah memberikan petunjuk-Nya
kepadaku untuk meyakini apa yang saya tulis dalam beberapa kitab ini. Mulai
saat ini aku keluar dari ajaran yang selama ini aku yakini.”
Kemudian al-Asy’ari menyerahkan beberapa kitab yang ditulisnya sesuai
dengan ajaran Ahlu Sunnah wal Jama’ah kepada orang-orang ramai. Di antaranya
adalah kitab al-luma fi al-radd’ala ahl al-zaygh wa al-bida. Kitab
ini memaparkan kesilapan kitab Mu’tazilah yang bejudul kasyf al-astar wa
hatk al asrar dan kitab-kitab lain. Setelah kitab tersebut dibaca oleh
kalangan ahli hadith dan fuqaha daripada kalangan Ahlu Sunnah wal Jama’ah
mereka mengambil isinya, menggunakannya sebagai hujah, meyakini kehebatan Imam
al-Asy’ari dan menjadikan beliau sebagai rujukan.
Ketidakpuasan al-Asy’ari dengan faham Mu’tazilah tersebut dapat dilihat
dengan memperhatikan riwayat lain yang mengisahkan perdebatan beliau dengan
al-Jubba’i.
Al-Asy’ari : “Bagaimana
pendapatmu tentang nasib 3 orang yang meninggal dunia, orang
mukmin, orang kafir dan anak kecil?”
Al-Jubba’i : “Orang mukmin
akan memperolehi darjat yang tinggi, orang kafir akan celaka dan anak kecil
akan selama.”
Al-Asy’ari : “Mungkinkah anak
kecil tersebut meminta darajat yang tinggi kepada Allah?”
Al-Jubba’I : “Tidak mungkin
kerena Allah akan berkata kepada anak itu : “Orang mukmin itu memperolehi
darjat yang tinggi kerena amalannya, sedangkan kamu belum sempat beramal,
jadi kamu tidak boleh memperolehi darjat itu.”
Al-Asy’ari : “Bagaimana kalau
anak kecil itu berkata kepada Allah : “Tuhan, itu bukan salahku. Andaikan aku
diberi umur yang panjang tentu aku akan beramal seperti orang mukmin itu.”
Al-Jubba’I : “Tidak mungkin.
Allah akan menjawab : “Aku telah mengetahui bahawa apabila kamu diberikan umur
panjang maka kamu akan derhaka, sehingga nanti kamu akan diseksa di akhirat
kelak. Oleh kerena itu, demi menjaga masa depanmu, kumatikan kamu sewaktu masih
kecil sebelum kamu menginjak usia taklif.”
Al-Asy’ari : “Bagaimana
seandainya orang kafir tersebut berkata kepada Allah : “Tuhan, engkau telah
mengetahui masa depan anak kecil itu dan juga masa depanku, tetapi mengapa
engkau tidak memperhatikan masa depanku, dengan mematikan aku sewaktu masih
kecil dulu sehingga aku tergolong orang yang selamat seperti anak kecil itu dan
mengapa engkau biarkan aku hidup hingga dewasa sehingga aku menjadi kafir dan
akhirnya aku diseksa seperti sekarang ini.”
Mendengar pertanyaan Imam al-Asy’ari tersebut al-Jubba’i menemui jalan
buntu dan tidak mampu memberikan jawapan.
Al-Jubba’i hanya berkata : “Kamu hanya bermaksud merosakkan keyakinan yang
telah ada.”
Al-Asy’ari : “Aku tidak
bermaksud untuk merosakkan keyakinan yang telah ada tetapi engkau yang tidak
mampu menjawab pertanyaanku.”
Kedua:
Bermimpi bertemu Nabi Saw.
Suatu ketika pada permulaan bulan Ramadhan, Imam al-Asy’ari tertidur dan
bertemu Nabi S.A.W.
Baginda berkata : “Wahai Ali tolonglah bela pendapat-pendapat yang
diriwayatkan dariku, kerana itulah yang benar.”
Setelah terbangun dari tidur, Imam al-Asy’ari merasakan mimpi itu sangat
berat dalam fikirannya dan beliau terus memikirkan apa yang dia alami dalam
mimpi itu.
Pada pertengahan bulan Ramadhan, beliau bermimpi lagi bertemu Nabi S.A.W
dan baginda berkata : “Apa yang kamu lakukan dengan perintahku
dulu?”
Al-Asy’ari menjawab : “Aku telah cuba memahami pendapat-pendapat
yang diriwayatkan darimu.”
Nabi Saw berkata : “Tolonglah bela pendapat-pendapat yang
diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar.”
Setelah terbangun dari tidurnnya, Imam al-Asy’ari merasa terbeban dengan
mimpi itu. Sehingga beliau berasa ingin meninggalkan ilmu kalam dan beliau akan
mengikuti hadith dan akan terus membaca al-Qur’an.
Tetapi pada malam 27 Ramadhan, tidak seperti biasanya rasa mengantuk yang
begitu hebat menyerang beliau sehingga beliau pun tertidur dengan rasa kesal
dalam hatinya, kerena beliau meninggalkan kebiasaannya untuk beribadah kepada
Allah. Dalam tidur, beliau bermimpi bertemu lagi dengan Nabi Saw untuk
kali ketiga.
Nabi S.A.W berkata : “Apa yang kamu lakukan dengan perintah ku
dulu?”
Al-Asy’ari menjawab : “Aku telah meninggalkan ilmu kalam dan
menumpukan sepenuh tumpuanku menekuni al-Qur’an dan hadith.”
Nabi Saw berkata : “Aku tidak menyuruhmu meninggalkan ilmu
kalam tetapi aku hanya memerintahkanmu membela pendapat-pendapat yang
diriwayatkan dariku, kerana itu yang benar.”
Al-Asy’ari menjawab : “Wahai Rasulullah, bagaimana aku mampu
meninggalkan mazhab yang yang telah aku ketahui masalah-masalah dan
dalil-dalilnya sejak 30 tahun yang lalu hanya kerana mimpi?”
Nabi Saw berkata : “Andaikan aku tidak tahu bahawa Allah akan
menolongmu dengan pertolongan-Nya, tentu aku menjelaskan semua jawapan kepada
masalah-masalah(ajaran mu’tazilah)itu. Bersungguh-sungguhlah kamu dalam masalah
ini, Allah akan menolongmu dengan pertolongan-Nya”.
Setelah terbangun dari tidurnya al-Asy’ari berkata : “Selain
kebenaran pasti hanya kesesatan.”
Lalu beliau mula membela hadith-hadith yang berkenaan dengan ru’yah (melihat
Allah di akhirat), syafa’at dan lain-lain. Ternyata setelah itu Imam al-Asy’ari
mampu mengemukakan kajian-kajian dan dalil–dalil yang belum pernah
dipelajarinya daripada guru-gurunya serta tidak dapat dibantah oleh lawannya
dan belum pernah dibacanya dalam suatu kitab.
Cerita-cerita
tersebut walaupun tidak dapat dipastikan kebenarannya, menjelaskan kedudukan
al-Asy’ari. Beliau telah mengetepikan kepercayaan-kepercayaan Mu’tazilah dengan
menyertai Ahmad ibn Hanbal yang memang ingin diikutinya seperti yang telah
diterangkan oleh al-Subki sendiri. Al-Asy’ari telah meneruskan kepercayaan dan
akidah mazhab al-Salaf yang disokongnya. Dalam catatan al-Maqrizi, dikatakan
bahawa selepas meninggalkan Mu’tazilah, beliau mengikuti aliran Abu Muhammad
‘Abd-Allah bin Muhammad bin Sa’id bin Kullab dalam segala bentuk pemikirannya
yang berlawanan dengan Mu’tazilah. Namun demikian, beliau mempertahankan
kepercayaan barunya menerusi hujah-hujah akal yang digunakan oleh Mu’tazilah.
Al-Asy’ari
hidup di sekitar akhir abad ke-3/9 dan awal abad ke-4/10 pada ketika kerajaan
Bani ‘Abbasiyyah peringkat pertama telah lemah dan munculnya kerajaan-kerajaan
kecil seperti Samaniyyah (m.261/876), Buwayh (m.310/925), Hamdaniyyah (m.317/932)
dan Fatimiyyah (m.297/912). Pada waktu tersebut, aliran-aliran pemikiran
(firqah) lain mulai berkembang seperti al-Qadariyyah, al-Jahmiyyah, al-Mu’tazilah,
al-Karramiyyah, al-Khawarij, al-Syi’ah, al-Qaramitah, al-Batiniyyah dan
sebagainya. Di samping itu, kegiatan penterjemahan dan falsafah serta tasawwuf
mulai berkembang dengan pesatnya dengan kelahiran tokoh-tokoh mereka
masing-masing yang begitu berkaliber.
Kebanyakan guru al-Asy’ari adalah terdiri
daripada tokoh hadith dan fiqh, dan banyak pendapat atau akidahnya bersumberkan
daripada tokoh-tokoh tersebut. Mereka ialah:
1. Zakariyyah ibn Yahya al-Saji (m.285/898).
Abu Yahya Zakaria bin Yahya Al Saji Al Syafi’i (220-307H/835-920M). Hafiz
besar, muhadith kota Bashrah pada masanya dan faqih bermadzhab Syafi’i. Beliau
telah menulis kitab ‘Ilal hadits yang membuktikan kepakarannya dalam bidang
hadith. Beliau juga menulis kitab Ikhtilaf Fuqaha dan Usul Fiqh yang
membuktikan kepakarannya dalam bidang usul fiqih. Menurut Imam az-Zahabi, Imam
Asy’ari belajar hadith dan metodogi ahli hadith kepada Zakaria al-Saji ketika
masih kecil dan sebelum memasuki aliran Mutazilah.
2. Abi
Khalifah al-Jumhi [‘Abd al-Rahman ibn ‘Abd al-Salam al-Jumhi) (m.303/938).
Abu Khalifah Fadhl bin Hubab al-Jumahi al-Bashri (206-305H/821-917M).
Muhadith kota Basrah yang dianggap thiqah. Beliau seorang ahli hadith yang
jujur dan banyak meriwayatkan hadith. Usianya hampir mencapai 100 tahun. Imam
Asy’ari banyak meriwayatkan hadith dari Abu Khalifah dalam kitab tafsirnya.
3. Sahl
ibn Nuh.
Abu Hasan Sahal bin Nuh bin Yahya al-Bazzaz al-Bashri. Seorang Muhadith yang
tinggal di Basrah, Guru kepada Imam Asy’ari dalam bidang hadith.
4. Muhammad
ibn Ya’qub al-Ma’bari.
Menurut al-Hafiz Ibnu Asakir, Imam Asy’ari banyak meriwayatkan hadith dalam
tafsirnya melalui jalur Zakariya al-Saji, Abu Khalifah al-Jumahi, Abdur Rahman
bin Khalaf al-Dhabbi, Sahal bin Nuh al-Bazzaz dan Muhammad bin Yaqub al-Maqburi
yang semuanya tinggal di Bashrah.
5. ‘Abd
al-Rahman bin Khalaf al-Dabbi.
Abu Muhammad Abdur Rahman bin Khalaf bin Husain al-Dhabbi al-Bashri.
Muhadith yang tinggal di Basrah dan periwayatan hadithnya diterima oleh para
ulama. Beliau belajar hadith kepada Ubaidillah bin Abdul Majid al-Hanafi,
Hajjaj bin Nushair al-Fasathithi dan lain lain. Beliau wafat pada 279H/893M.
6. Al-Jubba’i [Abu ‘Ali b. ‘Abd al-Wahhab b.
Salam] (m.303/918).
Abu Ali Muhammad bin Abdul Wahab bin Salam al-Jubba’i (235-303H/849-916M)
merupakan pakar teologi dan tokoh mu’tazilah terkemuka dan pengasas aliran
Jubba’iah salah satu aliran dalam mutazillah. Hubungan yang sangat dekat antara
guru dan murid ini menjadikan al-Asy’ari menjadi penerus aliran mu’tazilah dan
pada akhirnya menjadi salah seorang tokoh mu’tazilah terkemuka. Imam al-Asy’ari
memiliki kecerdasan yang luar biasa dan kemampuan yang hebat dalam menundukkan
lawan debatnya, sehingga Imam al-Asy’ari kerap mewakili gurunya, al-Jubba’i
dalam perdebatan. Al-Jubba’i sering berkata kepada al- Asy’ari : “Gantilah
aku dalam perdebatan.”
HASIL KARYA
Di antara
hasil-hasil karya al-Asy’ari yang terkenal dan menjadi sumber rujukan utama
dalam persoalan akidah ialah:
1. Al-Ibanah ‘an Usul al-Diyanah.
Buku al-Ibanah merupakan karya agung
Al-Imam Abu al-Hasan al-Asy’ari sebelum beliau meninggal dunia. Buku ini
menjadi panduan umat Islam dalam isu-isu utama akidah. Terutamanya isu-isu
seperti benarkah dapat melihat Allah dengan mata kepala? Perbincangan mengenai Al-Quran Itu Kalamullah,
Allah bersemayam di atas Arasy, wajah, mata dan tangan Allah, penolakan
terhadap Muktazilah, wujudkah telaga Rasulullah?, dan pelbagai
isu lagi dibincangkan di dalam buku ini secara padat, penuh hujah dan
sanggahan. Ibnu Asaakir di dalam buku At-Tabyiin (halaman 128) berkata,
“Barangsiapa yang membaca kitab Al-lbanah pasti akan mengetahui kedudukan
beliau dalam bidang ilmu dan agama.” Imam Abu al-Hasan telah menyatakan akidah
yang jelas di dalam buku ini dengan menyebutkan dalil dan hujah daripada
al-Quran, al-Sunnah dan akal bagi menyanggahi golongan sesat seperti Qadariah
dan Muktazilah.
2. Al-Luma’ fi Radd
‘ala Ahl al-Zaigh wa al-Bida‘.
3. Maqalat al-Islamiyyin wa
Ikhtilaf al-Musallin.
4. Risalah fi Radd ‘ala Ahl
al-Thughr bi-Bab al-Abwab.
5. Risalah fi Istihsan
al-Khawd fi ‘Ilm al-Kalam.
6. Qawl Jumlah Ashab al-Hadith
wa Ahl al-Sunnah fi al-I’tiqad.
Daripada beberapa kitab karya beliau dapat disimpulkan beberapa perkara asas dalam
akidah iaitu seperti berikut :
1. Beliau berpendapat bahawa fungsi akal manusia atas al-Quran'an dan
Sunnah adalah sebagai sebuah alat untuk menyingkap hikmah yang Allah berikan
melalui al-Qur'an dan melalui Nabi Muhammad SAW. Dengan bukti-bukti aqliyyah,
maka akal adalah penjelas bagi al-Qur'an dan Sunnah kerana pada hakikatnya
kewujudan al-Qur'an dan sunnah itu selaras dan sejalan dengan akal yang sihat.
2. Pada mulanya, ilmu kalam tidak begitu diberikan perhatian oleh ulama
Islam tetapi kewujudan ilmu kalam itu sangat diperlukan ketika semakin banyak
orang yang menyimpang dari manhaj salafus sholih, seperti Mu'tazilah,
Hasyawiyah, Qadariyah dan lain-lain. Beliau berpedoman kepada kaedah mala
yatimmul wajib illa bihi fahuwa wajib. Imam al-Subki
berkata : “Imam al –Asya’ri tidak pernah berbincang mengenai ilmu
kalam kecuali ada dorongan untuk membela agama dan menolak terhadap faham-faham
sesat.”
3. Wajib berpegang kepada hadith sahih, baik hadith itu mutawatir
ataupun ahad dan mengambil apa yang telah diamalkan oleh para
sahabat. Beliau berkata dalam kitab al-Ibanah: "Dan kami
berpedoman pada riwayat yang sahih dari Rasulullah yang diriwayatkan oleh
perawi-perawi yang thiqah, yang adil, dari orang yang adil, sampai
riwayat itu sambung kepada Rasulullah dan mereka yang dikatakan kufur adalah
mereka yang mengingkari hadith mutawatir dan perkara perkara yang maklum
minad din bid doruroh.
Beliau
berpandangan bahawa al-Qur'an tidak dapat dinasakh kecuali dengan al-Quran, dan
Sunnah tidak dapat dinasakh kecuali dengan Sunnah pula, maka apabila ada sunnah
lalu menasakh al-Qur'an maka Sunnah tersebut harus ada al-Qur'an yang
menguatkan penasakhan tersebut, dan begitu pula sebaliknya. Hal ini sesuai
dengan mazhab Imam Syafi'e.
4. Setiap ayat-ayat yang mutasyabihat (ayat-ayat yang
membawa kesamaran bahawa Allah menyerupai makhluk) baik sifat
mahupun af’al, maka kita wajib menyerahkan (tafwidh)
maknanya kepada Allah S.W.T dan menyucikan Allah S.W.T daripada menyerupai
makhluk. Manakala konsep takwil juga turut digunakan dalam
memahami ayat-ayat mutasyabihat.
FALSAFAH /PEMIKIRAN YANG DIBAWA
Al-Asy’ariyyah
atau al-Asya’irah merupakan mazhab ilmu Kalam yang terdiri daripada para
pengikut Abu al-Hasan al-Asy’ari. Sejarah mazhab ini tidak begitu mendapat
perhatian. Sepanjang dua dekad terakhir daripada hidupnya, al-Asy’ari dikatakan
berjaya menarik ramai pengikut dan dengan itu mazhab ini diasaskan. Ajaran
mazhab baru ini sentiasa terdedah kepada serangan daripada berbagai-bagai
penjuru. Selain daripada para ulama Mu’tazilah, kumpulan-kumpulan tertentu
ulama kalam tradisi (ortodoks) juga turut menyerang mereka. . Golongan al-Asya’irah berpegang kepada slogan “
mengikut sunnah (Ittiba‘ al-sunnah) adalah lebih baik daripada melakukan bid’ah
(ibtida‘). Mereka berpegang kepada sumber-sumber al-Qur’an, al-sunnah, sahabat,
tabi’in dan Ahl al-Hadith. Golongan tersebut tidak begitu memberikan perhatian
dan penekanan kepada akal, berbanding dengan Mu’tazilah atau al-Maturidiyyah. Menurut
pandangan golongan pengikut Ahmad ibn Hanbal (al-Hanabilah), hujah akal yang
digunakan oleh Mu’tazilah dianggap bid’ah yang mesti ditolak. Hal Ini demikian
kerana, metodologi yang diimplementasikan oleh al-Asy’ari turut sama mendapat
tentangan daripada mereka. Dari perspektif lain, golongan al-Maturidiyyah turut
mempertahankan ajaran ortodoks dengan hujah akal.
Sebahagian
daripada mereka kelihatan terlalu bersifat konservatif. Dapat dilihat pada
kritikan-kritikan yang dilakukan oleh para ulama awal dalam mazhab tersebut
dalam Syarh al-Fiqh al-Akbar yang dihubungkan kepada al-Maturidi.
Walaupun menghadapi tentangan, golongan al-Asya’irah beransur-ansur menjadi
mazhab yang dominan di tanah Arab dalam kekuasaan Bani ‘Abbasiyyah (khususnya
selepas zaman al-Ma’mun) dan juga di Khurasan. Secara umumnya dari segi fiqh,
mereka menganuti mazhab fiqh al-Syafi’i kerana al-Asy’ari selaku pengasasnya menganuti
mazhab fiqh yang sama manakala golongan al-Maturidiyyah adalah bermazhab
Hanafi. Dari segi pengaruh, gerak balas golongan Hanbali (al-Hanabilah) yang
lebih tertumpu kepada Ibn Taimiyyah (m.728/1327) adalah agak terbatas. Walaubagaimana
pun, kira-kira pada zaman al-Sanusi (m.895/1490), walaupun al-Asy’ari dan
tokoh-tokoh besar lain dalam mazhabnya disanjung dan diterima, namun begitu
tokoh-tokoh ulama kalam tidak lagi menganggap mereka termasuk dalam golongan al-Asya’irah.
Pada hakikatnya mereka telah mengambil ajaran daripada sumber-sumber lain.
Menurut
al-Subki, Abu al-Hasan al-Asy’ari tidak menciptakan (lam yabda’)
pendapat-pendapat atau dengan kata-kata lain, akidah-akidahnya tetapi beliau
sebagai muqarrir mazhab al-Salaf, yang berpegang teguh dengan
menggunakan metodologinya dalam mengemukakan dalil dan hujah. Jika diteliti
secara mendalam terhadap pemikiran al-Asy’ari dalam persoalan akidah, jelas
kelihatan ia merupakan hasil kombinasi pendapat-pendapat yang diambil dan
diceduk daripada pelbagai sumber. Al-Asy’ari memang terbukti menolak pendapat
Mu’tazilah secara menyeluruh. Maka pendapat Mu’tazilah umumnya tidak ditemui
dalam pemikirannya. Bagaimanapun, oleh kerana pada masa perkembangan pemikiran
dan akidah sedang dalam proses pengukuhannya, al-Asy’ari seperti yang dapat
dilihat dalam kebanyakan sumber menyebutkan bahawa beliau dikatakan sebagai
seorang al-Jabariyyah, al-Murji’ah, al-Sifatiyyah, al-Musyabbihah,
al-Hasyawiyyah dan lain-lain. Hal ini demikian kerana al-Asy’ari mempunyai
pendapat-pendapat tertentu yang sama dengan pendapat-pendapat yang dipegang dan
diyakini oleh mazhab-mazhab tersebut. Mungkin perkara ini berlaku kerana
al-Asy’ari terlibat dalam pemikiran golongan tersebut dan mengambil mana-mana
pendapat yang dipersetujuinya ataupun pendapatnya itu adalah pendapatnya
sendiri dan secara kebetulan bersamaan dengan pendapat-pendapat mereka.
Antara
persoalan-persoalan utama yang
dikemukakan oleh al-Asy’ari dan menjadi pegangan mazhabnya adalah:
1) Ketuhanan (al-Tawhid):
(a) Beliau mempercayai
Tuhan mempunyai sifat yang kekal (qadim) seperti mengetahui, melihat,
berkata-kata dan dengan sifat-sifat itulah Tuhan mengetahui, melihat dan
berkata-kata, sedangkan al-Mu’tazilah mengatakan Tuhan tidak mempunyai
sifat-sifat yang berbeza daripada dhat-Nya.
(b) Al-Asy’ari mengatakan Allah mempunyai wajah
(wajhan), dua tangan (yadain) dan dua mata (`ainain).
Beliau menjelaskan bahawa semua sifat itu adalah sifat-sifat sebenar yang
keadaannya tidak diketahui dengan tepat (bi-la kayfa). Beliau menganggap
" Allah duduk di atas ‘arasy’ juga dalam bentuk yang sama. Mu’tazilah
mengatakan keterangan al-Qur'an seperti tangan dan wajah Allah mestilah
ditafsirkan dengan maksud " rahmat ", " zat " dan lain-lain.
(c) Al-Asy’ari mengatakan
bahawa al-Qur'an adalah Kalam Allah, dan Kalam Allah adalah qadim, oleh sebab
itu al-Qur'an adalah qadim sedangkan Mu’tazilah pula berpendapat al-Qur'an
adalah makhluk (bukan qadim).
(d) Al-Asy’ari
berpendapat melihat Allah di akhirat adalah suatu hakikat, walaupun tidak dapat
difahami caranya, manakala al-Mu’tazilah pula mengatakan bahawa Allah tidak
boleh dilihat kerana ia seolah-olah memperlihatkan bahawa Allah berjisim dan
terbatas.
(e) Berhubung dengan
kebebasan manusia, al-Asy’ari menekankan kekuasaan (qudrah) Allah, semua
perkara sama ada baik mahupun buruk adalah dikehendaki oleh Allah, dan Dia
menjadikan perbuatan manusia dengan menjadikan dalam diri manusia, kuasa untuk
melakukan setiap perbuatan. Ajaran tentang kasb atau iktisab (usaha) yang kemudiannya
menjadi ciri-ciri golongan al-Asya’irah biasanya disifatkan kepada al Asy’ari
sendiri. Walaupun beliau biasa dengan konsep tersebut, tetapi beliau tidak
kelihatan berpegang kepada ajaran itu.
(f) Al-Asy’ari menekankan bahawa orang Islam yang berdosa besar
tetap mu'min tetapi akan menerima hukuman azab neraka. Al-Mu’tazilah mengatakan
orang Islam tersebut bukanlah mu'min atau kafir berdasarkan pegangan mereka
kepada prinsip al-manzilah bain al-manzilatain.
(2) Hari Kebangkitan (al-Ma‘ad):
(g)
Al-Asy’ari mempertahankan pelbagai aspek ukhrawi seperti al-haud, al-sirat,
al-mizan dan syafa’at (Nabi Muhammad (s.a.w)) yang dinafikan atau ditafsirkan
secara logik (aqli) oleh Mu’tazilah. Al-Asy’ari bukanlah orang yang
pertama menggunakan ilmu Kalam atau hujah akal untuk mempertahankan ajarannya.
Di antara mereka yang pernah membuat percubaan yang serupa lebih awal
daripadanya ialah al-Harith bin Asad al-Muhasibi (m.243/857). Walau bagaimanapun,
kelihatan al-Asy’ari menjadi orang yang pertama melakukannya dengan cara yang
diterima oleh sebahagian besar ulama. Beliau juga mempunyai kelebihan kerana
memiliki pengetahuan yang terperinci dan mendalam mengenai pendapat-pendapat
Mu’tazilah.




Tiada ulasan:
Catat Ulasan